Bundelan-kertas.blogspot.com - Aku adalah dari cahaya kebenaran Tuhanku
Ketika di alam malakut kampung kediaman kepada segala arwah-arwah, maka telah di ambil persaksiaan kepada sekelian diri bahawa segala arwah telah bersaksi bahawa Allah itulah Tuhan
Dan bahawa Tuhan maha pengasih berkehendak memberi kurnia lalu dikatakan kepada sekelian jiwa: "Wahai jiwa....pergi kamu sekelian membawa rahsia kebesaranKu ke alam nyata
Nyatakan kebesaranKu dan pujilah serta agungkanlah akan keagunganKu
Esakan Aku dalam setiap keadaanmu dan jangan sesekali membantah akan takdirku
Tunduklah kepada titah perintahku dan bersabarlah akan segala ujian dariku
"Barang siapa yang taat akan Aku beri kurnia dengan kasih sayang sifat kepemurahanKu"
"Barang siapa yang ingkar akan aku azab dengan libasan keperkasaanKu"
"Dan apabila sampai takdirmu akan Ku utus kepadamu utusanKu untuk membawamu kembali kepadaKu samada engkau rela atau terpaksa"
Dan ketika waktu yang ditakdirkan dalam suratan, aku pun dipakaikan dengan pakaian kemanusiaan, dan di simpan dalam kantung alam kesayangannya sementara menunggu perintah untuk memulakan perjuangan
Ketika aku melewati pintu kelahiranku lalu menghirup angin kehidupan
Aku masih dalam ketidaktahuan dan tanpa mengetahui suatu apapun
Hanya berhidup dengan rahmat pemberianNya, lewat pancuran air dari gunung kasihNya
Tanpa mengetahahui sesuatu, tanpa melihat sesuatu, tanpa mengingati sesuatu hanya lafaz Huwa...Huwa..andai berasa lapar dan dahaga
Hari demi hari bulan berganti tahun aku semakin dewasa menjalani permainan sandiwara maya ini
Dan banyak perkara yang aku pelajari di sekitar halaman hidupku, tentang arus perjalanan suka duka,riang tawa,sendu dan tangis adalah rempah ratus yang digaul dalam liku ombak dan badai yang terpaksa aku harungi
Kisah tentang kampung asalku langsung tiada dalam ingatan seolah-olah aku tak pernah berada di sana dan perjanjian yang telah aku lafazkan dahulu pun langsung tiada pernah terlintas dihati bahawa aku pernah melafaz janji
Dan suara-suara rintihan jiwa yang merindui kampung halaman gagal aku fahami kerana asyik melayan suara-suara dan hiburan lalai keduniaan
Sehinggalah suatu ketika aku ditampar oleh seruan peringatan yang membangunkan sadarku dari mimpi semu sepanjang langkah yang telah aku jalani
Baru aku sadari bahawa selama ini aku telah melalaikan lafaz janjiku untuk mempersaksikan wujud keesaan Tuhan dan mengabdikan diri Hanya kepadaNya yang telah menghantarku ke sini
Pengalaman adalah guru sejati yang banyak mengajariku dan pedoman kalam kebenaran itulah yang memperingati kembali siapa diriku dan untuk apa aku dihadirkan ke maya persada ini.
Dengan merangkak aku cuba mencari kembali segala maknawi akan perjalanan ini, dan menekuni kalam kitab Ilahi dan aku selak helaian demi helaian kitab diri untuk mencari bukti sehingga aku meyakini bahawa aku adalah salah satu bukti di antara ayat-ayat kalimat Tuhan yang dinyatakan atas muka bumi sebagai tanda kewujudan dan keesaan Tuhan itu
Dan kehadiranku adalah untuk mempersaksikan bahawa Allah Tuhanku
Dan mengabdikan seluruh hidupku hanya kepada Dia
Kebenaran inilah yang sekian lama aku lupakan kerana terpedaya oleh kilauan dan permainan dunia yang menipudaya
Kini kerinduanku kepada kampung halaman menggamit sukma meruntun jiwa
Aku rindukan zaman cahayaku yang tanpa irama duka
Hanya memuja-memuji keindahan dan keagungan Sang pencipta tanpa kesakitan gundah gulana
Ohhh kekasih ...kemanakah penghujungnya kerinduan ini.
Wassalam
Rindu
About the author
Miko is a simple human who has hobby off reading, writing, and likes to learn programming languages with a little dream to be alike a coconut tree